Sunday, June 6, 2010

SK MOSTYN ANJUR MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

Sejumlah 34 orang kanak-kanak, 22 murid Sekolah Kebangsaan Mostyn dan 12 murid Sekolah Humana Ladang Mostyn, telah berkhatan beramai-ramai di Klinik Ladang Mostyn pada Ahad 6 Jun 2010. Majlis berkhatan tersebut adalah anjuran SK Mostyn, Persatuan Ibubapa dan Guru SK Mostyn dan Ladang Mostyn (Sime Darby Plantation).
Seramai 5 orang Pembantu Hospital (HA) telah didatangkan dari Hospital Daerah Kunak untuk menyempurnakan pengkatanan kepada kanak-kanak yang terlibat. 
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Dipertua PIBG SK Mostyn yang juga Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pelaksana, Encik Laruna Lakile menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SK Mostyn dan juga pihak Ladang Mostyn atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan majlis tersebut. Beliau menambah bahawa keseluruhan perbelanjaan bagi majlis tersebut adalah ditaja sepenuhnya oleh pihak Sime Darby Ladang Mostyn, termasuk kos berkhatan untuk setiap kanak-kanak.
Sementara itu, Pengurus Kanan Ladang Mostyn, Encik Muhammad Saipul'ilah Bin Che Idris, dalam ucapan peresmiannya berharap yang majlis seumpama itu dapat dijadikan sebagai acara tahunan oleh PIBG SK Mostyn. Beliau seterusnya memberi jaminan yang pihaknya akan sentiasa memberi sokongan semampu mungkin bagi membantu menjayakan program-program sedemikian.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Guru Besar SK Mostyn Encik Malik Bin Manahaw, Penolong Pengurus Kanan Ladang Mostyn, Imam Kariah kawasan Mostyn Tuan Imam Ismail Reppa, ibubapa dan masyarakat setempat.


Selepas upacara peresmian, kanak-kanak diiringi oleh ibubapa, guru-guru, serta masyarakat Ladang Mostyn dengan paluan kompang dari Dewan Ladang Mostyn ke gelanggang bola keranjang untuk majlis bersiram. Pancutan air dilakukan dengan bantuan Pasukan Bomba Ladang Mostyn. Keseronokan jelas terbayang di wajah kanak-kanak berkenaan yang bersorak dan bergurau sesama sendiri.





Selesai majlis bersiram kanak-kanak diarak pula ke Klinik Kesihatan ladang Mostyn dimana upacara berkhatan dilaksanakan.









No comments: